Saturday, November 27, 2010

PENGENALAN

Sekolah Menengah Islam Al-Haj adalah sebuah sekolah menengah agama tahfiz yang mengandungi kurikulum dari segi agama dan akademik. Sekolah ini telah didaftarkan di bawah sektor pendidikan swasta di bawah Jabatan Agama Islam Selangor ataupun lebih dikenali sebagai JAIS. Lokasinya yang beralamat di No 5 & 7, Jalan Hijau 5/3, Green Valley Park, Bandar Tasik Puteri, 48020 Rawang, Selangor. Kedudukan sekolah ini amat strategik kerana dikelilingi oleh kawasan perindustrian yang kini sedang meningkat maju.

Dalam pada itu, sekolah ini ditubuhkan adalah untuk menawarkan kepada ibubapa yang cenderung dalam menghantar anak mereka ke sekolah yang menggabungkan pendidikan di dalam aspek pembelajaran iaitu agama dan akademik. Hal ini merupakan satu alternatif kepada ibubapa yang tidak dapat menghantar anak mereka ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Kemasukkan pelajar ke sekolah ini juga adalah terbuka kepada pelajar di seluruh Malaysia termasuk pengambilan pelajar daripada luar negara iaitu Brunei dan Singapura

MATLAMAT

Sekolah Menengah Islam Al-Haj ditubuhkan untuk memberi kesinambungan di dalam Pendidikan Agama Islam dan Akademik selepas para pelajar menamatkan pembelajaran mereka di Sekolah Rendah. Selain itu, Sekolah Menengah Islam Al-Haj juga telah menerapkan sistem pembelajaran TAHFIZ di dalam jadual pembelajaran sekolah. Hal ini bertujuan agar sekolah dapat melahirkan pelajar yang berdedikasi serta mampu berdaya saing dengan masyarakat yang lain di samping dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan di dunia malah mampu memiliki dan mendalami ilmu pengetahuan di akhirat serta dapat memanfaatkan kedua-dua ilmu pengetahuan tersebut pada masa akan datang.